MUNICH: Pemain tengah Jerman, Kai Havertz enggan memandang rendah terhadap kemampuan Hungary yang berjaya mencipta kejutan apabila mengikat juara dunia Perancis dalam aksi Kumpulan F Euro 2020, awal pagi tadi.
Jelas Havertz, yang menjaringkan gol kemenangan Chelsea dalam saingan akhir Liga Juara-Juara musim ini, skuad Magyarok memiliki benteng pertahanan yang hebat dan sukar untuk ditembusi.
“Kami boleh berpuas hati dengan persembahan hari ini (selepas menumpaskan Portugal 4-2). Kami beraksi dengan agak baik dan memberi tekanan barisan pertahanan Portugal.
“Ia sangat penting untuk memberikan segalanya selepas kecundang kepada Perancis tempoh hari. Kami tetap yakin dengan kemampuan diri.
“Kami percayakan sistem dan kami yakin dengan barisan pemain. Hungary merupakan pesaing hebat di mana anda tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka. Mereka sangat bagus di barisan pertahanan.
“Saya fikir, kami akan berdepan satu lagi pencabar terhebat selepas ini,” kata Harvert.
Jerman bakal membuat perhitungan terakhir peringkat kumpulan dengan Hungary pada Khamis ini (pukul 3 pagi waktu Malaysia).- AGENSI