PETALING JAYA: Hajat jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo tidak kesampaian, selepas dia menamatkan saingan di bawah markah kelayakan acara Dressage Antarabangsa CDI di Le Mans, Perancis hari ini.
Qabil, 41, meraih markah 64 peratus, kurang dua peratus untuk mencipta sejarah sebagai ekuin Malaysia pertama menyertai temasya sukan terulung dunia itu.
Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 66 peratus markah di Le Mans untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.
Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia Syed Omar Syed Abu Bakar Al Mohdzar bagaimanapun memuji usaha Qabil untuk ke Eropah biarpun hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada saat akhir.
“Sudah tentu kami sedih dengan berita ini tapi kami tetap bangga dengan pencapaian Qabil setakat ini. Saya berharap dia akan memberi inspirasi kepada atlet lain untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya yang dipetik kepada Bernama.
Awal bulan ini, Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) memberi tiket jemputan kepada Qabil untuk beraksi dalam acara dressage di Olimpik Tokyo selepas satu daripada dua penunggangnya yang layak menerusi Kumpulan G Kejohanan Kelayakan untuk Zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019 menarik diri baru-baru ini.
Bagaimanapun untuk melayakkan jaguh negara itu beraksi di Tokyo dia perlu mendapatkan 66 markah dalam kejohanan yang dianggap ‘lesen’ untuk membolehkannya bertanding.