MUNICH: Kai Havertz atau Leroy Sane. Dua pemain berbakat yang membuatkan pengendali Jerman, Joachim Loew pening untuk memilih siapa harus diturunkan dalam pertemuan menentang Perancis esok.
Loew akhirnya membuat keputusan pada saat akhir untuk meletakkan bintang tengah Chelsea, Havertz dalam kesebelasan utama berbanding pemain sayap Bayern Munich, Leroy Sane dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Allianz Arena.
Havertz, 22, yang memainkan peranan penting membantu Chelsea muncul juara Eropah musim ini bakal bergandingan bersama Thomas Muller dan Serge Gnabry.
Ilkay Gundogan, Timo Werner dan Antonio Rudiger antara pemain yang hampir pasti berada dalam kesebelasan utama skuad Die Mannschaft, yang terpaksa memasuki ‘gear lima’ sebaik saja memulakan kempen Euro 2020.
“Kami memulakan kempen dengan perlawanan yang besar dan bertanggungjawab untuk melepasinya. Kami akan berikan segala-gala yang termampu,” kata Loew.
Biarpun sedar mereka bakal berdepan ancaman hebat daripada tiro serangan Perancis, Karim Benzema, Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe, Loew dijangka menggunakan formasi 3-5-2.
Mats Hummels, Rudiger dan Matthia Ginter bakal mengetuai benteng Jerman bersama penjaga gol berpengalaman, Manuel Neuer. – AGENSI