PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berkemungkinan besar kehilangan khidmat Junior Eldstal dalam baki dua perlawanan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas dia disahkan mengalami kecederaan tendon Achilles.
Pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan perkara itu dan menyatakan pertahanan tersebut tidak dapat berjalan dengan sempurna selepas tamat perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan akan diketepikan daripada aksi menentang Vietnam, Sabtu ini.
“Junior mengalami kecederaan tendon Achilles di kaki kiri. Dia hanya sedar mengenai kecederaan itu selepas tamat permainan dan semasa beraksi dia sama sekali tidak tahu yang dia cedera.
“Kami akan ketepikan dia buat sementara waktu dan pasukan perubatan akan pantau tahap kecederaannya,” kata Cheng Hoe.
Mengulas lanjut, bekas jurulatih Kedah itu berkata, beliau akan turun melihat aksi di antara Vietnam menentang Indonesia esok (pukul 12.45 tengah malam waktu Malaysia) bagi mencari kombinasi terbaik Harimau Malaya.
“Sudah menjadi tugas kami sebagai jurulatih untuk turun ke stadium bagi melihat sendiri aksi Vietnam menentang Indonesia. Pada saya, ia adalah perlawanan menarik dan jika Indonesia meraih keputusan positif, sudah tentu ia akan memberi motivasi buat Harimau Malaya.
“Namun, apa sahaja yang berlaku pada perlawanan itu akan menjadi medan terakhir buat saya mencatur strategi taktikal yang mungkin diterapkan pasukan bertemu Vietnam nanti,” katanya.
Mengulas mengenai pandangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Cheng Hoe berkata, pihaknya menerima pandangan itu dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai motivasi terbaik untuk bertemu Vietnam.
“Kita semua tahu TMJ adalah individu yang sangat mengambil berat tentang bola sepak dan saya percaya, baginda juga mahu lihat pasukan kebangsaan beraksi dengan baik,” katanya.