LONDON: Dietmar Hamann melabel Cristiano Ronaldo sebagai ‘bodoh’ kerana berani menunjukkan skil yang ‘memperdaya’ pertahanan Jerman, Antonio Rudiger ketika Portugal tewas 2-4 dalam aksi Kumpulan F, Euro 2020 awal pagi tadi.
Bintang penyerang Juventus itu berada dalam mood ‘amat yakin’ selepas meletakkan Portugal di depan pada minit ke-15 menerusi serangan balas menakjubkan untuk jaringannya yang ketiga dalam Euro 2020.
Sebelum Jerman melakukan kebangkitan hebat, Ronaldo dengan senang hati memperagakan ‘karya seni’ yang membuatkan Rudiger tersentak.
Ketika bola berada di udara, dia bergerak seolah-olah mahu menangkap bola tersebut sebelum menolaknya kepada rakan sepasukan tanpa menoleh.
Aksi Ronaldo itu tular di media sosial dengan peminat memberi reaksi berbeza mengenai pemain berusia 36 tahun tersebut. Ada yang memujinya, namun ada juga yang menyelar dengan menganggap Ronaldo tidak sepatutnya memalukan Rudiger.
The Group of Death ?
Ronaldo vs Rudigerpic.twitter.com/sDx5Aopifj
— My Greatest 11 (@MyGreatest11) June 19, 2021
Legenda Jerman, Liverpool dan Bayern Munich, Hamann berkata, tindakan Ronaldo telah membuatkan pemain-pemain Jerman geram seterusnya mendorong mereka untuk bangkit.
“Saya rasa itu tidak masuk akal. Dia menjentik bola, berpura-pura akan menangkapnya dan membelakanginya. Dia melihat ke belakang.
“Tentu itu (luar biasa) dan kami tahu dia boleh melakukannya. Saya rasa, dengan cara dia memperlekehkan lawan, itu telah mendorong mereka untuk bangkit.
“Dia melakukannya pada kedudukan 1-0. Saya hanya memerhati anda semua bersoal jawab. Ya, dia pemain terbaik dunia bersama (Lionel) Messi tetapi sekarang, dia kelihatan bodoh. Kedudukan baru 1-0 dan dia memang nampak bodoh.
“Kalau anda tanya pemain-pemain Jerman, mereka akan beritahu apa yang berada dalam fikiran mereka. Sudah tentu mereka perasan perkara itu,” kata Hamann kepada RTE. – AGENSI