BUDAPEST: Antoine Griezmann menyelamatkan juara dunia, Perancis daripada dimalukan Hungary selepas mengikat kedudukan 1-1 dalam aksi Euro 2020, sebentar tadi.
Dalam saingan di Arena Puskas, Budapest itu, pemain tengah Hungary, Attila Fiola mengejutkan skuad Les Blues apabila meledak gol pada masa kecederaan babak pertama.
Skuad bimbingan Didier Deschamps dilihat mendominasi permainan pada separuh masa pertama, dengan Karim Benzema dan Kylian Mbappe masing-masing terlepas peluang keemasan.
Perancis kemudian bergelut pada babak kedua, namun berjaya mencari gol penyamaan menerusi Griezmann pada minit ke-66.
Raphael Varane hampir menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat terakhir, tetapi tandukannya sekadar menyinggah tiang gol.
Keputusan dalam aksi Kumpulan F itu sekali gus menghalang juara Euro 2000 tersebut untuk mara ke peringkat kalah mati lebih awal.
Perancis bagaimanapun mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan terakhir pada kejohanan besar (menang tujuh, seri dua – Piala Dunia, Euro). – AGENSI