Greece ikat barisan kedua Belgium 1-1 - Utusan Malaysia

Greece ikat barisan kedua Belgium 1-1

THORGAN Hazard meledak gol pembukaan Belgium ketika menentang Greece di Stadium Baudouin, Brussels semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Beraksi tanpa ramai bintang, Belgium dikejutkan oleh Greece apabila seri 1-1 dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2020 hari ini.

Skuad bimbingan Roberto Martinez kehilangan tonggak seperti Eden Hazard (kecederaan paha), Kevin De Bruyne (retak tulang hidung) dan Axel Witsel (pergelangan kaki), selain merehatkan Thibaut Courtois, Jan Vertonghen serta Thomas Vermaelen.

Bintang Borussia Dortmund yang juga adik kepada Eden, Thorgan Hazard meletakkan Belgium di depan pada minit ke-20 selepas percubaan Romelu Lukaku sebelum itu dinafikan oleh penjaga gol Greece, Odysseas Vlachodimosv.

Pemain pertahanan Greece, Georgios Tzavellas bagaimanapun menyamakan kedudukan buat juara Eropah 2004 itu pada pertengahan separuh masa kedua.

Skuad Red Devils akan mengharungi aksi persahabatan kedua menentang Croatia, Ahad ini sebelum turun dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B berdepan Rusia di Saint Petersburg pada 13 Jun.

“Sesetengah pemain baru menghabiskan liga dan sudahpun terpaksa beraksi semula.

“Kami menentang Greece bukan untuk mencari kemenangan, namun mempunyai objektif tertentu,” kata Martinez.

Selain Rusia, Belgium yang menghuni ranking No. 1 dunia turut diletak bersama Denmark, pasukan yang mengikat Jerman 1-1 semalam dan Finland.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan pemanas badan menjelang Euro 2020, Switzerland membelasah Lichtenstein 7-0, berterima kasih kepada hatrik Mario Gavranovic.

Switzerland antara pasukan pilihan untuk melepasi Kumpulan A yang turut dibarisi oleh Itali, Wales dan Turki, yang menewaskan Moldova dalam satu perlawanan persahabatan.

Ukraine yang diundi dalam Kumpulan C, mengatasi Ireland Utara 1-0, sementara Republik Ireland bangkit daripada dikejutkan menerusi gol awal untuk menewaskan Andorra 4-1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya