MUNICH: Robin Gosens mengakui, persembahannya ketika membantu Jerman membenam Portugal 4-2 pagi tadi ‘sukar dilupakan’ sehingga dia tidak berminat untuk bertukar jersi dengan Cristiano Ronaldo.
Pertahanan Atalanta itu mendapat tepukan gemuruh selepas meledak gol, mencipta dua bantuan jaringan serta membantu mencipta gerakan untuk satu lagi gol ketika pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Portugal dalam aksi Kumpulan F, Euro 2020.
Ronaldo sebelum itu meletakkan Portugal di depan tetapi dua gol sendiri Ruben Dias dan Raphael Guerreiro membolehkan Jerman mendahului pada babak pertama.
Sebaik saja separuh masa kedua bersambung, Kai Havertz meledak gol ketiga Jerman sebelum Gosens menjaringkan gol keempat mereka. Diogo Jota menjaringkan gol kedua Portugal namun ia tidak cukup untuk menafikan kemenangan pertama Jerman dalam kejohanan kali ini.
Gosens dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan berdasarkan prestasi cemerlangnya tetapi kali ini dia enggan lagi meminta jersi Ronaldo sebaik saja tamat saingan selepas dimalukan pada 2019.
Dua tahun lalu, selepas Atalanta menewaskan Juventus pada suku akhir Piala Itali, Gosens meminta untuk bertukar jersi dengan Ronaldo tetapi bintang Portugal itu mengatakan tidak dan berlalu pergi.
“Saya sangat malu dan muka saya merah,” tulis Gosens dalam buku autobiografinya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada dia ada meminta Ronaldo untuk bertukar jersi buat kali kedua selepas kemenangan Jerman ke atas Portugal, Gosens berkata: “Pada akhir perlawanan saya tidak meminta jersi Ronaldo , saya hanya mahu menikmati kemenangan ini. Kepada penyokong Atalanta, saya hanya mahu katakan yang saya sayang mereka dan jumpa nanti.” – AGENSI