SAO PAULO: Jaringan Papu Gomez pada minit ke-10 membawa Argentina melangkah ke suku akhir Copa America selepas menumpaskan Paraguay 1-0 sebentar tadi.
Kemenangan di Stadium Mane Garrincha itu memastikan skuad La Albiceleste mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul tujuh mata, malah membolehkan Lionel Messi meraih 147 penampilan buat Argentina, menyamai rekod Javier Mascherano.
Messi yang masih memburu kejuaraan besar pertama bersama Argentina terpaksa bekerja keras selepas pasukan itu melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama.
Pemain pertahanan, German Pezzella dan Nicolas Tagliafico dibawa masuk, begitu juga Rodrigo de Paul dan Leandro Paredes (tengah) serta penyerang, Sergio Aguero dan Angel di Maria.
Jurulatih, Lionel Scaloni sebaliknya merehatkan Nicolas Otamendi, Marcos Acuna, Leandro Paredes, Giovani Lo Celso, Lautaro Martínez dan Nico Gonzalez.
Pertukaran besar itu tidak menghalang Argentina untuk bermula garang, malah di awal saingan gerakan Messi dan Di Maria beberapa kali mengancam kubu Paraguay tetapi penjaga gol, Antony Silva menjadi penyelamat pasukannya.
“Saya sudah lama menantikan detik ini. Selepas menjaringkan gol, saya hanya terfikir tentang keluarga dan rakan-rakan yang telah banyak bekorban untuk membolehkan saya datang ke sini,” kata Gomez.
Argentina akan menentang Bolivia dalam perlawanan terakhir kumpulan, Isnin depan manakala Paraguay bertemu Chile. Empat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir. – AGENSI