RIO DE JANEIRO: Jaringan Casemiro 10 minit memasuki waktu kecederaan membantu Brazil menumpaskan Colombia 2-1 dalam perlawanan’tegang’ Copa America sebentar tadi.
Aksi di Stadium Nilton Santos itu menyaksikan tiga gol cantik terhasil bermula dengan sepakan akrobatik Luis Diaz yang mengejutkan Brazil dan meletakkan Colombia di depan seawal minit ke-10.
Penyerang itu memusingkan badan untuk melakukan tendangan basikal ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Weverton.
Selepas memperoleh jaringan tersebut, Colombia mula bermain secara bertahan berdepan Brazil yang melancarkan serangan bertali arus dan berkampung di kawasan lawan.
Ketika saingan memasuki minit ke-78, ‘lutut’ pengadil dari Argentina, Nestor Pitana turut memainkan peranan untuk gol penyamaan Brazil.
Pitana secara tidak sengaja terhadang bola hantaran silang Neymar 10 meter di depan pintu gol Colombia membuatkan pemain pertahanan Colombia berhenti bermain seketika.
Pemain gantian Brazil, Lucas Paqueta bagaimanapun meneruskan permainan dan menghantar bola kepada Renan Lodi yang kemudian melakukan hantaran jauh untuk ditanduk Roberto Firmino, menewaskan penjaga gol Colombia, David Ospina.
Pemain Colombia enggan meneruskan permainan dan membantah jaringan tersebut, namun Pitana, pengadil perlawanan akhir Piala Dunia 2018 mengesahkan gol Brazil.
Brazil terus memberi tekanan sehingga wisel penamat dan Casemiro akhirnya meledak gol kemenangan pada minit ke-100 selepas menyudahkan sepakan penjuru Neymar.
Jurulatih Colombia, Reinaldo Rueda berkata, pengadil menyebabkan pasukannya ‘terganggu’ dan amat kecewa gagal menutup permainan dengan mata.
“Brazil mendapat dua gol dalam situasi berbeza. Gol pertama, saya fikir pengadil telah mengganggu tumpuan pemain,” kata Rueda kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Brazil menerajui Kumpulan B dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan manakala Colombia di tangga kedua selepas berkongsi empat mata bersama Peru.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Ecuador mengikat juara enam kali, Peru 2-3. – AGENSI