KOTA BHARU: Gabungan persatuan negeri yang keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atau lebih dikenali sebagai G-12 menawarkan kerangka lebih baik dan lengkap dalam usaha melonjakkan semula maruah sukan tersebut di negara ini.
Wakilnya, Zuraidin Abdullah berkata, kerangka tersebut merangkumi aspek pengurusan PSM sehingga ke program pembangunan diperingkat akar umbi bagi memastikan Malaysia kembali menjadi salah satu ‘kuasa’ dunia dalam sukan sepak takraw.
Menurutnya, antara nafas baharu yang mahu disuntik ialah dengan menghadkan tempoh antara tiga hingga empat penggal sahaja untuk seseorang individu menggalas tugas sebagai Presiden PSM.
“G-12 beranggapan tempoh itu sudah sesuai untuk menterjemahkan kemampuan seorang individu bergelar presiden bagi mentadbir PSM.
“Bukan itu sahaja, kita sudah menyediakan kerangka yang lebih mapan aspek latihan dan pembentukan pasukan diperingkat kebangsaan dengan menerapkan budaya sains sukan,” katanya.
Zuraidin memberitahu, program pembangunan peringkat akar umbi akan terus diperkasa dalam melahirkan pelapis sepak takraw yang berkualiti dan lebih prosesional pada masa hadapan.
Katanya, kelahiran pelapis baharu ini bagi memastikan kuasa utama dunia seperti Thailand dapat dijinakkan dengan lebih kerap pada masa akan datang.
“Justeru kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu dilakukan sebaik mungkin.
“Hal ini kerana KPM adalah pembekal utama bakat-bakat baharu sukan sepak takraw Malaysia pada masa depan,” ujarnya.
Zuraidin yang merupakan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) berkata, pelan menyelamat itu dikemukan selepas G-12 bersetuju mengekalkan serta mengguna pakai nama PSM sebagai pentadbir sukan berkenaan.
Katanya, G-12 sudah beberapa kali duduk semeja dengan PSM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk perbincangan haja tuju badan berkenaan.