'Euro kami bermula sekarang' - Utusan Malaysia

‘Euro kami bermula sekarang’

PEMAIN Denmark bersemangat selepas menamatkan latihan di Helsingor, Denmark semalam menjelang pertemuan menentang Rusia di Copenhagen esok. - IHSAN HERRELANDSHOLDET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Kasper Hjulmand berkata, kempen sebenar Denmark dalam Euro 2020 bermula esok apabila pasukannya menentang Rusia pada perlawanan terakhir Kumpulan B yang menjadi penentu sama ada cabaran mereka akan diteruskan atau berkubur.

Denmark masih gagal mengutip sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan ekoran kekalahan 0-1 kepada Finland, diikuti 1-2 di tangan Belgium.

Bagaimanapun kemenangan ke atas Rusia dengan dua gol atau lebih di Stadium Parken sambil mengharapkan Finland tewas kepada pendahulu kumpulan, Belgium bakal menjamin Denmark ke peringkat kalah mati selaku naib juara kumpulan.

Seperti mana ketika mereka tewas ‘melawan’ kepada Belgium, Denmark mahu menyerap semangat Christian Eriksen yang rebah akibat serangan jantung dalam pertemuan menentang Finland untuk mencari kemenangan.

KASPER Hjulmand (kanan) berbincang dengan pemain tengah, Pierre Hojbjerg (tengah) dan Thomas Delaney dalam sesi latihan di Helsingor, Copenhagen semalam. – AFP

“Kami pasti bersedia. Kami akan memberi permainan terbaik di Parken dan meraih kemenangan pada malam ajaib. Rasanya, Euro kami bermula sekarang.

“Perjuangan kami belum selesai selepas memulakan kempen dalam keadaan sukar. Kami akan memulakannya sekali lagi.

“Pasukan menunjukkan persembahan hebat ketika menentang Rusia dan kami harus mengulangi prestasi itu berdepan Rusia, ” kata Hjulmand kepada wartawan.

Hjulmand berkata, mentaliti pasukannya kini semakin baik selepas menerima kunjungan Eriksen yang memberi kata-kata semangat semalam.

“Ia sangat bermakna bagi pemain yang belum melihat Eriksen, terutama mereka yang rapat dengannya.

“Ia juga sesuatu yang bagus, suasana pasti berbeza. Senang melihat dia hadir bersama keluarganya. Ini penting buat pemain,” katanya.

Denmark sekali lagi akan menerima sokongan padu 25,000 penyokong apabila berdepan Rusia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya