LONDON: Pada ketika peminat mengimpikan negara mereka akan menjulang kejuaraan Eropah, barisan jurulatih pula menuntut disiplin lebih tinggi daripada pemain sepanjang Euro 2020.
Penampilan video bantuan pengadil (VAR) buat kali pertama menuntut pemain, terutama pertahanan lebih berhati-hati untuk mengelak dihukum oleh sepakan penalti.
Selepas tamat 36 perlawanan peringkat kumpulan, secara keseluruhannya 14 sepakan penalti telah diberikan dalam Euro 2020. Lapan menemui sasaran dan enam tidak ‘mengena’.
Cristiano Ronaldo meledak tiga sepakan penalti, manakala lima lagi dijaringkan Memphis Depay (Belanda), Emil Forsberg (Sweden), Patrik Schick (Republik Czech), Artem Dyzuba (Rusia) dan Karim Benzema (Perancis).
Bintang Wales, Gareth Bale mengetuai senarai pemain yang gagal menyempurnakan penalti bersama Pierre-Emile Hojbjerg (Denmark), Ezgjan Alioski (Macedonia Utara), Ruslan Malinovskiy (Ukraine), Gerard Moreno (Sepanyol) dan Alvaro Morata (Sepanyol).