CONPENHAGEN: Christian Eriksen akan menonton perlawanan Denmark menentang Belgium esok (12 tengah malam Jumaat, waktu Malaysia) dari hospital, kata pengurus pasukan, Kasper Hjulmand.
Pemain berusia 29 tahun itu mengalami serangan jantung pada minit ke-42 ketika Denmark menentang Finland dalam perlawanan pembukaan Euro 2020, Sabtu lalu.
Dia masih dipantau di Hospital Rigshospitalet, yang hanya terletak 500 meter dari Stadium Parken di Copenhagen, di mana Denmark akan bertemu Belgium dalam perlawanan Kumpulan B.
“Ya saya rasa Christian akan menonton (permainan).
“Sungguh gila, hospital dia betul-betul di sebelah Parken, dan ketika dia melihat ke luar jendela dia dapat melihat Parken dan mungkin dia dapat mendengar semua sorakan di stadium.
“Ia situasi yang ‘gila’ buat Christian tapi saya rasa dia akan memakai jersi dan menonton perlawanan,” kata Hjulmand hari ini.
Selepas kalah 0-1 kepada Finland dalam aksi pembukaan, Denmark perlu mengejutkan pasukan No. 1 dunia, Belgium untuk menghidupkan peluang meneruskan kemaraan.
Ketiadaan Eriksen meninggalkan kesan secara emosi dan taktikal buat Denmark kerana bintang Inter Milan itu adalah sebahagian perancangan penting pasukan. – AGENSI