England 'sakit' kalau diheret ke penalti - Utusan Malaysia

England ‘sakit’ kalau diheret ke penalti

PEMAIN England menjalani latihan akhir di Saint George's Park, Burton-on-Trent semalam menjelang pertemuan menentang Jerman esok. - IHSAN ENGLAND FOOTBALL TEAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tiada apa yang perlu dibimbangi oleh England apabila menentang Jerman dalam pusingan 16 akhir esok, kecuali perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, kata legenda Jerman, Lothar Matthaus.

Matthaus adalah kapten Jerman Barat ketika mereka mengalahkan England menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Piala Dunia 1990, malah pasukan itu sekali lagi menewaskan Three Lions menerusi penalti dalam separuh akhir Euro 1996.

England mengharapkan sokongan padu penyokong di Stadium Wembley, London untuk menaikkan semangat pasukan memburu tiket suku akhir.

“England ada peluang untuk menang tetapi tidak jika ia berlarutan ke penalti.

“Jerman sentiasa amat bagus dalam situasi ini, malah kami sering bergurau mengenai nasib berbeza Jerman dan England dalam penentuan sepakan penalti.

“Kalau kami berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti, saya fikir Jerman adalah pilihan utama,” kata Matthaus.

Selain dua kekalahan menerusi sepakan penalti, England juga tewas kepada Jerman dalam pertemuan terakhir mereka di peringkat kalah mati kejuaraan utama, selepas dibenam 4-1 pada pusingan 16 akhir Piala Dunia 2010.

BIARPUN sudah 31 tahun berlalu, namun aksi separuh akhir Piala Dunia 1990 masih menghantui England,

Sementara itu tonggak pertahanan England, John Stones mengakui, Three Lions sudah melakukan persediaan jika perlawanan berlarutan ke penentuan penalti.

England tidak pernah memenangi perlawanan peringkat kalah mati di Euro dalam masa sebenar, jadi mereka perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, kata bintang Manchester City itu.

Pengendali England, Gareth Southgate sendiri gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika England kalah 6-5 kepada Jerman dalam Euro 1996 selepas masa sebenar perlawanan berkesudahan 1-1.

“Dalam situasi sekarang, kami banyak berlatih dan melakukan persiapan untuk sebarang kemungkinan.

“Kami fokus kepada taktikal permainan supaya pasukan lebih jelas untuk berdepan lawan, malah turut berlatih melakukan sepakan penalti,” kata Jones.

England bagaimanapun menamatkan ‘badi’ penalti pada Piala Dunia 2018 selepas menumpaskan Colombia 4-3 pada pusingan 16 akhir selepas perlawanan terikat 1-1.

“Saya masih ingat, saya menjadi orang ketujuh mengambil tendangan selepas Eric (Dier). Ia detik yang amat menakutkan.

“Bagaimanapun saya sentiasa bersedia kerana ini proses yang sering kami bincangkan. Kami harus merasa selesa untuk berdepan sebarang situasi.

“Selain Harry (Kane) dan beberapa pemain yang sering mengambil penalti untuk kelab mereka, kebanyakan pemain agak janggal dengan situasi itu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya