LONDON: Faktor cuaca, tuntutan fizikal dan prestasi pemain setiap hari menjadi elemen utama yang diambil kira pengendali England, Gareth Southgate apabila menentukan kesebelasan pasukan untuk menentang Croatia hari ini.
Turun dengan misi membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Croatia pada separuh akhir Piala Dunia 2018, bukan pengalaman, rekod atau corak permainan semata-mata menjadi keutamaan Southgate kerana beliau menegaskan mereka bukan berada dalam permainan ‘fantasy football’.
“Kami bercakap tentang cuaca dan tuntutan fizikal untuk memenangi perlawanan pada peringkat tertinggi.
“Penilaian terhadap prestasi pemain setiap hari mempengaruhi keputusan. Kami tidak boleh abaikan apa yang berlaku dalam sesi latihan dan hanya menentukan skuad berdasarkan gaya permainan, rekod atau pengalaman, ini bukan fantasy football,” kata Southgate.
Formasi 4-3-3 mungkin menjadi pilihan Three Lions, di mana pemain sayap, Raheem Sterling dijangka mengisi kesebelasan utama biarpun dia tidak mendapat minit permainan yang banyak bersama Manchester City musim ini.
Jack Grealish dan Marcus Rashford perlu bersaing untuk merebut kesebelasan utama kerana keutamaan Southgate adalah barisan yang seimbang di semua posisi.
“Kami perlu menurunkan pasukan yang boleh memenangi perlawanan, tidak kira dia pemain paling muda atau paling berpengalaman,” tegasnya.
Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, Harry Kane hampir pasti mengetuai jentera serangan dan memegang kunci untuk membawa England menamatkan penantian 55 tahun sejak kali terakhir merangkul kejuaraan utama pad Piala Dunia 1966.
Phil Foden, Mason Mount serta Jadon Sancho menjadi pilihan penyokong untuk diturunkan, namun apa yang diharapkan mereka mungkin berbeza daripada skuad pilihan Southgate.
Sementara itu, kapten Croatia, Luka Modric percaya, skuad England kali ini jauh lebih baik berbanding yang ditewaskan oleh mereka tiga tahun lalu.
“Saya tidak boleh sebut siapa pemain England yang mampu menjadi ancaman terbesar buat kami kerana mereka menampilkan terlalu ramai pemain muda berbakat yang dahagakan kejayaan. Mereka nampak amat bahaya dan sudah pilihan juara,” kata pemenang Ballon d’Or 2018 itu. – AGENSI