SEVILLE: Martin Dubravka diangkat sebagai wira untuk beberapa minit apabila menafikan sepakan penalti penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, namun berdepan derita selepas dibolosi lima gol.
Sepanyol akhirnya mempamer aksi sang juara apabila membelasah Slovakia 5-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan E namun kemenangan besar itu hanya membawa mereka mara sebagai naib juara di belakang Sweden.
Pada minit ke-12, Dubravka berjaya menafikan penalti Morata dan menganggap tuah bakal memihak kepadanya.
Begitupun tekanan berterusan La Roja menyaksikan mimpi ngeri Dubravka bermula. Penjaga gol Newcastle itu melakukan kesilapan terburuk dalam kariernya apabila menampar bola ke gawang sendiri selepas percubaan deras Pablo Sarabia terkena palang sebelum bola melambung tinggi di minit ke-30.
Jaringan itu menyuntik semangat Sepanyol untuk menambah empat lagi gol menerusi Aymeric Laporte, Pablo Sarabia dan Ferran Torres, manakala gol sendiri pemain tengah, Juraj Kucka melengkapkan kemenangan bergaya La Roja.
“Gol pertama silap saya dan saya pasti akan menyesalinya untuk masa yang lama.
Apa pun, ia sudah berlaku.”
“Kemudian jaringan kedua dan seterusnya telah menyukarkan kami hingga di akhir permainan. Sepanyol mengawal perlawanan dan mudah buat mereka,” kata Dubravka.
Bekas pemain Scotland, Ally McCoist berkata, Dubravka perlu dipersalahkan sepenuhnya untuk gol pertama Sepanyol.
“Dia hanya perlu lompat dan pastikan bola ditolak melepasi palang. Ia kesalahan penjaga gol,” kata bekas penyerang Rangers itu ketika mengulas untuk ITV.
Sepanjang Euro 2021, tiga gol sendiri dijaringkan penjaga gol antaranya kesilapan dilakukan Wojciech Szczesny ketika Poland tewas 2-1 kepada Slovakia.
Lukas Hradecky menjadi penjaga gol kedua yang tidak sengaja tertampan bola tandukan Thomas Vermaelen yang terlebih dahulu terkena palang sebelum terkena tangannya ketika Finland tewas 2-0 kepada Belgium. – AGENSI