PARIS: Novak Djokovic menamatkan penguasaan hebat Rafael Nadal pada kejohanan tenis Terbuka Perancis apabila melakar kemenangan empat set pada separuh akhir sebentar tadi.
Pemain No. 1 dunia dari Serbia itu bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-6, 6-3, 7-6 (7-4), 6-2, sekali gus mengakhiri dominasi ‘Raja Tanah Liat’, Nadal sejak empat tahun lalu.
Turun untuk memburu kejuaraan buat kali ke-14, Nadal sebaliknya mengalami kekalahan ketiga dalam 108 penampilan di Terbuka Perancis.
Djokovic, 34, kini perlu segera menyegarkan semula badannya untuk berdepan lawan yang lebih muda, Stefanos Tsitsipas dalam final esok.
Pemain berusia 22 tahun dari Greece itu melangkah ke final Grand Slam pertamanya dengan menewaskan bintang Jerman, Alexander Zverev dalam pertarungan epik lima set.
Tsitsipas, pilihan kelima kejohanan menang 6-3, 6-3, 4-6, 4-6, 6-3 dalam pertarungan berkualiti tinggi yang ditonton lebih 5,000 peminat.
“Anda perlu mempamer aksi terbaik jika mahu menang ke atas Rafa di gelanggang ini.
“Malam ini, saya memberikan permainan tenis terbaik,” kata Djokovic, yang memburu gelaran Grand Slam ke-19. – AGENSI