JOHOR BAHRU: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun ‘berkhayal’ apabila pemain import itu menyatakan hanya Red Giants boleh dianggap sebagai gergasi dalam dunia bola sepak negara.
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, pencapaian Harimau Selatan berada di tahap luar biasa jika dibandingkan dengan Selangor yang hanya gah dari segi sejarah.
Katanya, tidak dinafikan Selangor terkenal pada era kegemilangannya dan memiliki sejarah yang tersendiri namun berdasarkan pencapaian semasa, JDT kini menjadi pasukan terbesar di negara ini.
“Mungkin dari segi sejarah, Selangor lebih hebat daripada JDT tetapi berdasarkan kedudukan semasa, JDT adalah pasukan terbesar dalam negara ini.
“Berapa stadium Selangor ada? JDT ada empat. Sekarang pernah atau tidak Selangor pada zaman kegemilangannya, menang Liga Super lebih daripada dua kali? JDT hatrik bukan sekali tetapi dua kali.
“JDT juga pernah menang liga sebanyak dua kali tanpa tewas. Rekod 75 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri dan hari ini, belum tewas dalam 33 perlawanan di laman lawan,” tegas Tunku Ismail dalam temubual santai di Instagram malam tadi.
Tambah Tunku Mahkota Johor lagi, pencapaian kedua-dua kelab dalam era bola sepak moden juga menunjukkan Harimau Selatan lebih berjaya baik dalam kancah saingan liga tempatan mahupun aksi di peringkat antarabangsa.
Katanya, perbandingan yang dibuat antara kedua-dua pasukan tersebut bersandarkan fakta yang telah terbukti dan bukannya cakap kosong.
“Selangor pernah menang pertandingan antarabangsa? JDT menang Piala AFC. Selangor pernah main di Liga Juara-Juara Asia (ACL)? JDT sudah main tiga kali.
“Saya rasa saya lebih tahu kelab mana lebih besar dalam negara ini. Bagaimana dengan segala pencapaian yang telah JDT kecapi ini, Selangor adalah pasukan lebih besar daripada JDT?
“Bagi saya, ini satu kenyataan yang tidak masuk akal. Saya tak tahu apa dia hisap, dia hisap ganja ke?,” kata Tunku Ismail.
Tambah Tunku Ismail lagi, dari segi ‘rivalry’ buat masa sekarang ini, ia melibatkan pasukan Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dan beberapa tahun yang lalu membabitkan pasukan Sri Pahang.
“Adakah Selangor hendak bermegah dengan sejarah kelab semata-mata? Nottingham Forest dahulu pun pernah menjadi juara Eropah, tetapi di mana mereka sekarang ini?
“Tidak ada apa yang hendak saya cemburukan dengan pasukan Selangor. Jika ada masalah pun, hanya melibatkan dua atau tiga individu dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), itu sahaja,” ujarnya.