BUDAPEST: Didier Deschamps menepis khabar angin yang mengatakan dua bintang Perancis, Karim Benzema dan Antoine Griezmann tidak sekepala menjelang aksi terakhir Kumpulan F Euro 2020 di Stadium Puskas, Budapest.
Pengendali Perancis itu berkata, kehadiran semula Benzema selepas hampir enam tahun tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan membolehkannya mempelbagaikan corak permainan skuad Les Blues.
Begitupun dalam dua perlawanan terdahulu, juara dunia itu gagal mencatatkan kemenangan tulen, sebaliknya menang menerusi gol ‘ihsan’ Jerman, diikuti Griezmann menyamakan kedudukan 1-1 dengan Hungary.
“Saya fikir Karim dan Antoine telah beraksi dengan baik. Mereka mempamerkan kualiti tersendiri.
“Memang benar dengan kemasukan semula Karim, kami boleh beraksi dengan lebih baik. Bagaimanapun saya tidak fikir ada salah faham di antara mereka,” kata Deschamps.
Perancis kini menghuni tempat teratas Kumpulan F dengan 4 mata, diikuti Jerman dan Portugal yang masing-masing berkongsi 3 mata, dan Hungary terakhir (1 mata).- AGENSI