BUDAPEST: Pengendali Perancis, Didier Deschamps kagum dengan corak permainan Hungary yang bijak memanfaatkan peluang selepas kedua-duanya seri 1-1 dalam aksi Kumpulan F Euro 2020, semalam.
Jelasnya, Perancis sepatutnya berada di depan apabila lebih mendominasi perlawanan, dengan beberapa peluang terhidang daripada Karim Benzema dan Kylian Mbappe di babak pertama gagal menterjemahkan jaringan.
“Kami sepatutnya berada di depan terlebih dahulu. Kami belum cukup baik untuk mencapai apa yang kami harapkan.
“Bagaimanapun inilah bola sepak. Mereka meledak gol menerusi satu-satunya peluang.Kami terlepas mata penuh, sebaliknya dapat satu mata.
“Hungary menghidupkan semula peluang mereka (ke peringkat kalah mati). Bagus untuk mereka,” kata Deschamps selepas tamat perlawanan.
Dalam saingan di Arena Puskas, Budapest itu, Antoine Griezmann menyelamatkan juara dunia, Perancis daripada dimalukan Hungary selepas mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-66.
Terdahulu, tuan rumah mengejutkan skuad Les Blues apabila membuka jaringan pada masa kecederaan babak pertama hasil jaringan pemain tengah Hungary, Attila Fiola.- AGENSI