COPENHAGEN: Penjaga gawang Finland, Lukas Hradecky tidak suka bermanis mulut ketika ditanya mengenai peluang pasukannya apabila berdepan Denmark dalam aksi pembukaan Kumpulan E esok, sebaliknya mengakui lawan mereka ‘sempurna’ di semua posisi.
Tanpa dapat menyebut di mana kekuatan Finland untuk melakar kejutan ke atas juara Eropah 1992, Denmark, Hradecky sebaliknya berharap, status sebagai underdog dan semangat berpasukan tinggi diharap mampu menghadirkan keputusan tidak diduga di Copenhagen.
“Lebih baik saya berterus-terang, mereka (Denmark) memiliki pemain yang lebih baik daripada kami di setiap posisi.
“Bagaimanapun, kami pernah membuktikan pasukan Finland yang penuh ‘teka-teki’ mampu menjadi lebih hebat daripada apa yang dijangkakan,” kata pemain Bayer Leverkusen itu.
Penyerang berbisa Norwich City, Teemu Pukki, Denmark pastinya menjadi senjata Finland untuk menembusi gawang Denmark yang diperkuatkan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.
Denmark juga memiliki gandingan ampuh di pertahanan tengah diketuai tonggak Chelsea, Andreas Christensen dan bintang AC Milan, Simon Kjaer.
Perancang utama Tottenham, Pierre-Emile Hojbjerg pula akan merencana gerakan pasukan itu bersama bintang Inter Milan, Christian Eriksen.
Selain memiliki barisan serba lengkapkan, kehadiran 16,000 di Stadium Parken juga diharap mampu memberi motivasi tambahan buat Denmark dalam misi mengulangi magis 1992.
“Kami akan mengharungi pengalaman unik, sesuatu yang mungkin tidak akan dirasai lagi selepas ini.
“Saya amat bersedia dan tidak sabar untuk beraksi di depan ribuan penonton, namun dalam masa sama kami harus mengawal emosi, tidak terlalu yakin dan cuba melakukan tugas sebaik mungkin,” kata Schmeichel.
Statistik juga menunjukkan Denmark adalah pilihan untuk memenangi pertarungan itu kerana Finland hanya menang sekali ke atas pasukan itu daripada 22 pertemuan mereka. Kali terakhir kemenangan diraih adalah pada 1949, yang mana tiada seorang pemain kedua-dua pasukan sudah dilahirkan ketika itu. – AGENSI