COPENHAGEN: Denmark bakal bertemu Wales di Stadium Amsterdam, Belanda dalam aksi pertama mereka pada peringkat kalah mati Sabtu ini.
Pasukan itu berjaya mara ke 16 perlawanan akhir bersama Belgium apabila membenam Rusia 4-1 dalam saingan terakhir Kumpulan B di Stadium Copenhagen dan memperbaiki kedudukan memintas Finland dengan jumlah 3 mata serta kelebihan empat gol.
Dalam perlawanan tadi, mereka memulakan pesta gol pada babak pertama, minit ke 38 menerusi jaringan penyerangnya, Mikkel Damsgaard. Kemudian, penyerang, Yussuf Poulsen memanfaatkan kelemahan pemain tengah Rusia, Daler Kuzyaev dengan memintas bola untuk meledak gol kedua pada minit ke 59.
Walaupun pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Rusia pada minit ke 70 yang disempurnakan kapten pasukan, Artem Dzyuba , namun insiden itu tidak memudarkan semangat untuk terus ‘berpesta’.
Denmark terus merobek gawang lawan dengan meledakkan dua gol menerusi Anders Christiansen dan Joakim Mæhle dengan beza masa Cuma tiga minit iaitu 79 dan 82. Kedudukan itu kekal sehingga pengadil, Clément Turpin meniupkan wisel penamat.
Susulan itu, para penyokong Denmark meraikan kemenangan sesama mereka kerana sebelum ini kedudukan pasukan itu berada pada tempat tercorot dalam Kumpulan B dan dianggap bakal tersingkir.
Skuad The Red and White itu sebelum perlawanan tampil tanpa sebarang mata dan mengharapkan kemenangan tunggal bertemu Rusia untuk mara, justeru mereka amat berharap supaya dapat menewaskan Rusia dengan dua gol sementara Finland pula perlu tewas di tangan Belgium supaya hasrat tercapai
Lantaran itu mereka dilihat benar-benar melakukannya untuk ketua pasukannya, Christen Eriksen yang mengalami serangan jantung dan tidak dapat beraksi bersama rakan-rakannya.
Dalam pada itu, semasa pembukaan perlawanan para penyokong membentang sehelai replika jersi besar memaparkan tulisan ‘Erikson 10’ dan terus bersorak serta melaungkan sorakan ‘You never never walk alone’.
Ketika perlawanan, Denmark diliha agresif mempertahan dan menyerang Rusia berikutan kekalahn terhadap Finland dan Belgium sebelum ini, tetapi mereka dilihat bergelut pada awal permainan untuk mencari peluang meledak gol berikutan tindakan Rusia memperkukuh pertahanannya.
Malah, pemain Rusia dikatakan menimbulkan rasa marah penyokong apabila kerap membawa bola keluar pada peringkat awal babak pertama.
Walau bagaimanapun, Rusia adalah pasukan pertama mendapat peluang untuk menyerang apabila pemain tengah, Aleksandr Golovin melakukan cubaan membolosi gawang dengan tendangan jarak dekat terus ke arah penjaga gol, Kasper Schmeichel.
Keputusan 4-1 yang berpihak kepada Denmark menyebabkan Rusia berada pada tangga paling corot di bawah Rusia. – AFP