KUANTAN: Selepas berbelanja besar dalam jendela perpindahan kedua, Sri Pahang mula mencongak keputusan lebih baik apabila Liga Super bersambung bulan depan.
Sri Pahang membawa masuk lima pemain baharu yang pastinya menyusutkan kantung pasukan, namun itulah harga yang perlu dibayar untuk membawa Tok Gajah jauh dari zon penyingkiran.
Begitupun dengan segala perancangan dan belanja yang telah dikeluarkan, mereka amat berharap Liga Malaysia (Liga M) tidak ditangguhkan lagi gara-gara kes Covid-19 yang terus menunjukkan peningkatan di negara ini.
“Selepas tamat pendaftaran kedua hari ini (semalam), Pahang membuat penyusunan semula pasukan dengan membawa masuk lima pemain baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Utusan Malaysia semalam.
Sri Pahang berbelanja besar mendapatkan pemain import baharu, Aung Kuang Mann, Kenny Athiu, Manual Hildago, Abu Bakar Yakubu dan pertahanan dari kelab Nongbua FC, Thailand, Nick Swirad.
Dalam masa yang sama, mereka masih terikat dengan kontrak dan terus membayar gaji bekas jurulatih, Thomas Dolley, penolong jurulatih, Cristopher Gamel dan pemain import dari Ukraine, Yohven Brokasvili dan Pedro Henrique.
“Diharapkan Liga Super dapat berjalan mengikut jadual dan tidak ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 sebab Pahang sudah benar-benar bersedia untuk kembali bersaing,” katanya.
Kata Suffian, jika ditangguhkan, gaji pemain tetap perlu dibayar sekali gus menambah beban kewangan mereka yang telah berbelanja besar demi membawa masuk lima pemain baharu.
Selepas mengharungi 13 perlawanan musim ini, Tok Gajah menghuni tangga kesembilan, hanya satu mata dipisahkan dari zon penyingkiran.