MADRID: Hanya lima hari sebelum memulakan kempen Euro 2020 menentang Sweden di Seville, persiapan Sepanyol menerima tamparan hebat apabila tonggak pertahanan, Diego Llorente muncul pemain kedua dijangkiti Covid-19 selepas ketua pasukan, Sergio Busquets.
Kedua-dua pemain meninggalkan kem latihan menaiki kenderaan perubatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, manakala pemain lain yang akan menerima vaksin hari ini diasingkan untuk menjalani latihan bersendirian.
Pengendali Sepanyol, Luis Enrique masih belum mengesahkan sama ada dua pemain tersebut akan digugurkan daripada skuad kerana mereka perlu menjalani pengasingan sekurang-kurangnya 10 hari.
Itu bermakna, kedua-duanya tidak dapat diturunkan dalam aksi pembukaan Sepanyol jika masih kekal bersama pasukam.
Selain Llorente dan Busquets, lapan lagi pemain, Jose Gaya, Mikel Oyarzabal, Thiago, Adama Traore, Aymeric Laporte, Eric Garcia, Fabian Ruiz dan Ferran Torres pernah menjadi mangsa Covid-19 sebelum menyertai skuad kebangsaan.
Seandainya kes positif meningkat, Sepanyol terpaksa menggunakan pelan B dengan memanggil enam pemain yang berada dalam senarai simpanan, diketuai penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, Raul Albiol (Villarreal), Rodrigo Moreno (Leeds), Pablo Fornals (West Ham), Carlos Soler (Valencia) dan Brais Mendez (Celta Vigo).
Kesemua mereka menjalani latihan berasingan secara dalam gelembung sukan.