PETALING JAYA: Penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias melihat pengendali Harimau Malaya bakal berdepan kesukaran memilih kesebelasan utama khususnya dengan kehadiran Dion Cools dalam senarai 26 pemain.
Katanya, kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium yang berpengalaman luas di pentas Eropah itu sudah pasti memberikan kekuatan di bahagian pertahanan.
“Pasti jurulatih akan pening untuk memilih barisan kesebelasan terbaik kali ini. Saya percaya kehadiran Cools dalam pasukan memberi motivasi kepada pasukan.
“Cools memiliki pengalaman luas dan pernah berdepan pemain-pemain berkelas dunia, jadi pengalaman itu dapat dikongsi dan memberi manfaat kepada pasukan.
“Pemain menerimanya dengan tangan terbuka dan bagi saya kehadirannya bukan virus tetapi membawa penambahbaikan dan kebaikan kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Farizal menjadikan kesilapan mudah ketika menentang Bahrain sebelum ini sebagai pengajaran untuk menjadi lebih baik dalam perlawanan akan datang.
“Mungkin saya sedikit hilang fokus tetapi boleh diperbaiki dan saya akan belajar daripada kesilapan ini.
“Saya percaya diri sendiri dan juga rakan-rakan pasukan. Kami sentiasa mahu melakukan terbaik untuk negara kerana mempunyai misi penting di sini,” katanya
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sedar dengan ancaman penyerang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ali Mabkhout sekiranya tidak dikawal rapi.
“Ali memang pemain yang berbahaya jika diberikan peluang walaupun dalam ruang yang kecil. Kita ada lihat dalam sesi video, untuk menyekatnya kita perlu lebih berdisiplin ketika bertahan,” katanya.