PETALING JAYA: Malaysia tidak sepatutnya lega kerana Nguyen Quang Hai, pemain yang mencipta gerakan untuk gol tunggal Vietnam ketika mengalahkan Malaysia dalam final Piala AFF 2018 di Hanoi dan meledak gol kemenangan ke atas Harimau Malaya di Bukit Jalil, Oktober 2019 tidak dapat beraksi Sabtu ini.
Sebaliknya, nama yang sepatutnya digeruni anak-anak buah Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan ketujuh Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu adalah Nguyen Cong Phuong, penyerang bertubuh kecil yang telah beberapa kali menghukum Malaysia.
Menurut statistik yang dikeluarkan media Vietnam semalam, skuad Naga Emas tidak pernah kalah setiap kali pemain tersebut diturunkan, sama ada dalam kejohanan senior mahupun peringkat umur.
Cong Phuong, 26, tampil dalam sembilan perlawanan menentang Malaysia bersama pasukan bawah 19, 23 dan senior.
Dia telah meledak lima gol dan melakukan dua bantuan jaringan, selain membantu Vietnam memperoleh dua sepakan penalti.
Dalam lapan perlawanan tersebut, hanya sekali Vietnam seri iaitu 2-2 di Bukit Jalil, selebihnya mereka meraih kemenangan.
Kali pertama Cong Phuong menjaringkan gol menentang Malaysia adalah pada pusingan kelayakan Asia B-23 pada 2016.
Dalam perlawanan itu, dia melakukan sepakan dari tumit untuk membantu Vo Huy Toan menyamakan kedudukan 1-1, sebelum meledak gol kemenangan 2-1.
Tiga bulan sebelum itu, pada Sukan SEA 2015 di Singapura, dua gerakannya menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam dan negara itu mengalahkan Malaysia 5-1.
Pada Februari 2017, Cong Phuong dan skuad Vietnam B-23 bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan di Thong Nhat. Penyerang yang dilahirkan pada 1995 itu meledak satu gol dan satu bantuan jaringan untuk pasukannya menang 3-0.
Dalam peringkat kumpulan Piala AFF 2018, Cong Phuong menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir untuk Vietnam menewaskan Malaysia 2-0.
Dalam tiga perlawanan berikutnya, dia tidak menjaringkan gol ke atas Malaysia tapi melakukan beberapa gerakan menarik yang menghukum pasukan negara.