CUIABA: Edinson Cavani meledak gol ke-52 buat Uruguay untuk membantu pasukan itu melangkah ke suku akhir Copa America selepas menyingkirkan Bolivia dari kejohanan menerusi kemenangan 2-0 hari ini.
Penjaga gol Bolivia, Carlos Lampe bernasib malang menjaringkan gol sendiri untuk meletakkan Uruguay di depan pada minit ke-40 sebelum Cavani mengesahkan kemenangan dengan jaringan minit ke-79.
Uruguay menutup peringkat kumpulan di tangga keempat, itu bermakna cabaran getur Brazil selaku juara Kumpulan B bakal menanti anak-anak buah Oscar Tabarez, Jumaat depan.
Paraguay pula menutup kempen Kumpulan A di tangga kedua di belakang Argentina selepas menumpaskan Chile 2-0.
“Kehadiran Covid-19 melemahkan pasukan kami.
“Kami bermain baik dan cuba tidak melakukan kesilapan tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan,” kata jurulatih Bolivia, Cesar Farias.
Sementara itu, Tabarez percaya, Uruguay berhak meraih kemenangan pertama dalam Copa America 2021 selepas melancarkan 22 percubaan ke gawang lawan.
“Jumlah jaringan tidak menunjukkan keadaan sebenar betapa kami menguasai perlawanan, namun saya tetap berpuas hati.
“Bolivia tidak melancarkan ancaman bahaya, jadi itu membuatkan kami gembira. Apa pun, tiada apa yang perlu diraikan sangat daripada kemenangan hari ini kecuali kami berpuas hati dengan permainan dan perlu bekerja keras untuk aksi yang jauh mencabar selepas ini,” kata Tabarez. – AGENSI