MONTEVIDEO: Neymar meledak satu gol untuk membantu Brazil meneruskan rekod sempurna dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 selepas menumpaskan Paraguay 2-0 hari ini.
Jaringan pemain gantian, Lucas Paqueta pada waktu kecederaan memastikan Brazil kekal mengungguli kelayakan zon Amerika Selatan dengan rekod enam kemenangan berturut-turut, sekali gus meninggalkan Argentina menerusi kelebihan enam mata.
Skuad bimbingan Tite tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Neymar menyempurnakan hantaran silang Gabriel Jesus untuk menewaskan penjaga gol, Antony Silva seawal minit keempat.
Paraguay cuba bangkit dengan mengatur asakan bertali arus pada babak kedua, namun tandukan Gustavo Gomez berjaya diselamatkan Ederson.
Marquinhos pula berpeluang menggandakan kedudukan buat Brazoil tetapi tandukannya tersasar selepas menerima hantaran lintang Neymar.
Neymar turut berpeluang menambah jaringan, namun percubaannya tersasar, manakala satu lagi rembatannya ditepis oleh Gomez .
Ketika saingan memasuki waktu kecederaan, Neymar berjaya melakukan hantaran menemui Paqueta yang melepaskan rembatan leret kaki kiri dari dalam petak penalti.
Dalam aksi di Caracas, Venezuela mengikat Uruguay 0-0 untuk kekal di tangga keempat. – AFP