PETALING JAYA: Peluang untuk Malaysia menyaksikan pingat emas pada Sukan Paralimpik 2020 Tokyo cerah apabila atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin memecahkan rekod dunia dengan angkatan 230 kilogram (kg) dalam kejohanan Piala Dunia Fazza ke-11, hari ini.
Dalam kejohanan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menyaksikan atlet berusia 22 tahun tersebut memecahkan rekod dunia dengan bebanan 230kg pada angkatan keempat.
Kejayaan dalam kategori senior lelaki berat melebihi 72kg itu sekali gus mengatasi rekod dunia terdahulu yang dipegang Roohallah Rostami dari Iran dengan angkatan 229kg ketika di Para Asia Jakarta 2018.
“Tahniah diucapkan kepada atlet para powerlifting negara, Bonnie Bunyau yang baru sahaja memenangi pingat emas di Dubai, UAE.
“Satu kejayaan yang amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Semoga dapat mengekalkan momentum, terus konsisten dan bawa semangat ini ke kejohanan Paralimpik Tokyo 2020 tidak lama lagi.
“Syabas Bonnie!” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi Facebook, sebentar tadi.
Tempat kedua dalam acara tersebut dimenangi pemegang perak Paralimpik Rio, Hu Peng dari China yang melakukan angkatan 214kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Nigeria, Ndamdi Innocent (213kg).
Mei lalu, Bonnie turut meraih pingat emas pada kejohanan Piala Dunia di Bangkok, Thailand selepas melakukan angkatan seberat 226kg sekali gus mencipta rekod peribadinya.