Bantulah kami teruskan ‘hidup’ - Utusan Malaysia

Bantulah kami teruskan ‘hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas gerai daging salai yang diusahakan di Sijangkang, Selangor sejak sembilan bulan lalu terpaksa ditutup, bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus merasai sendiri betapa perit nasib perniaga kecil yang hidup ‘kais pagi makan pagi’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Khalid, biarpun hilang sumber pendapatan dan buntu untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun beliau lebih bersimpati dengan nasib rakan-rakan peniaga kecil lain yang sudah terlebih dulu ‘gulung tikar’.

Ada rakan-rakannya yang hilang pekerjaan ketika PKP pertama diperkenalkan tahun lalu dan meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga, namun pelaksanaan total lockdown pula menyebabkan perniagaan mereka ‘bungkus’.

Bekas bintang Selangor dan Perak itu berkata, apa yang diperlukan oleh peniaga kecil sepertinya ketika bukan sekadar bantuan one-off yang hanya mampu bertahan sebulan atau dua, sebaliknya pelan jangka panjang yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan sehingga tamat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini saya tutup (gerai) sementara, mungkin tutup selamanya atau tutup ketika PKP. Saya pun tak tahu nak kata apa, yang pasti ditutup disebabkan keadaan ekonomi.

“Sebenarnya, sebelum raya, malah sebulan sebelum puasa saya sudah dapat lihat perkara ini akan berlaku kerana bila lockdown, pelanggan tidak boleh makan di kedai, keadaan terjejas teruk. Kemudian ia berjangkit sampai hari ini, tak boleh bayar sewa…bayaran itu dan ini.

“Nak pusing modal pun tak mampu, duit simpanan habis licin macam mana hendak teruskan perniagaan?,” kata Khalid ketika dihubungi Utusan Malaysia.

KHALID JAMLUS

Bagaimanapun Khalid, 44, berkata, bukan dirinya seorang terkesan akibat pelaksanaan PKP atau total lockdown, sebaliknya ia berlaku kepada beribu peniaga kecil yang terpaksa gulung tikar dan hilang sumber pendapatan.

“Ada seorang kakak ini beritahu saya, Lid kau baru gulung tikar, Akak dah gulung 6 bulan. Saya lihat ramai tertekan, buntu dan saya bimbang keadaan ini akan mendorong berlakunya perkara-perkara lebih buruk.

“Saya sebagai rakyat biasa, peniaga kecil yang mencari makan…hilang sumber pendapatan, merayu pihak berkenaan tolonglah wujudkan inisiatif berstruktur jangka panjang untuk bantu kami teruskan kehidupan, yang gulung tikar boleh berniaga semula, bayar hutang dapat sumber pendapatan.

“Kalau tak boleh berniaga tepi jalan, apa lagi boleh mereka lakukan? Buatlah satu platform atau saluran bimbing peniaga-peniaga kecil ini menempoh saat sukar sepanjang PKP.

“Kalau diwujudkan bantuan pinjaman, ia sangat tidak membantu. Saya pernah melaluinya, akhirnya duit habis bayar hutang dan tidak survive,” kata Khalid, yang menegaskan beliau bersuara untuk mewakili peniaga-peniaga kecil yang amat terkesan disebabkan PKP.

Khalid, 44, berkata, beliau menanggung kerugian mencecah hampir RM8,000 sejak dua bulan lalu selepas gerai makanan yang diusahakan tiada pelanggan.

Katanya, sejak perniagaan itu dibuka Ogos tahun lalu, modal yang dikeluarkan hampir mencecah RM20,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya