PETALING JAYA: Perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Bahrain membuka lembaran baharu kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA).
Badan induk bola sepak Bahrain juga turut berbesar hati menawarkan kemudahan untuk pasukan wanita dan futsal kebangsaan mengadakan kem latihan di Bahrain.
Berita gembira ini dikongsikan FAM selepas pertemuan diantara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan Presiden BFA, Sheikh Ali Khalifa Ahmed Al Khalifa dalam satu perjumpaan di pejabatnya di Riffa, Bahrain.
Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah menerima jemputan daripada Sheikh Ali Khalifa yang turut disertai Naib Presiden BFA, Ali Ahmed Al Buainain dan Setiausaha Agung BFA, Ebrahim Saad Al Buainain serta Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai isu semasa bola sepak dalam keadaan pandemik Covid-19, kerjasama di antara kedua-dua persatuan dari aspek pembangunan dan pentadbiran.
FAM turut mengucapkan terima kasih kepada BFA kerana membantu dalam penyediaan venue latihan dan penginapan pasukan sepanjang hampir seminggu skuad Harimau Malaya berlatih di Bahrain.