PETALING JAYA: Pasukan pelayaran menjadi kumpulan pertama atlet Malaysia yang akan berlepas ke Tokyo pada 8 Julai ini bagi beraksi dalam Sukan Olimpik 2020.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelayar negara berlepas awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Enoshima Yacht Harbor sebelum memulakan pertandingan dari 25 Julai hingga 4 Ogos.
Katanya, semua pelayar akan mula menjalani kuarantin di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan bermula 4 hingga 7 Julai ini sebelum berangkat ke Jepun.
“Sepanjang atlet dan jurulatih di sana, mereka akan menjalani ujian Covid-19 setiap hari atas keperluan penganjur sehingga mereka pulang ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Reezal Merican melakukan tinjauan persediaan dan persiapan atlet sukan pelayaran yang akan bertanding di Olimpik Tokyo 2020 secara maya.
Malaysia akan menghantar empat pelayar dan tiga jurulatih pada temasya kali ini untuk bertanding dalam acara Laser Standard, Laser Radial dan International 470 Wanita.
Dalam sesi berkenaan, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada atlet pelayaran negara iaitu Khairulnizam Mohd. Afendy, Nur Shazrin Mohamad Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali yang berjaya layak ke Olimpik.
“Saya dapat bayangkan kepanasan, kemanisan dan mungkin tangisan yang mengalir untuk sampai ke tahap Olimpik ini. Tahniah dan tabik daripada saya kepada mereka.
“Saya amat gembira melihat semangat dan komitmen atlet pelayaran kita pada tahap yang terbaik ketika ini. Apa yang penting buat mereka ketika ini adalah sentiasa positif dan akan berjuang Demi Malaysia,” katanya.