BUCHAREST: Austria berikrar tidak akan turun untuk sekadar seri apabila menentang Ukraine dalam aksi terakhir Kumpulan C esok biarpun keputusan itu memadai untuk membantu kedua-dua pasukan meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati Euro 2020.
Skuad Das Team tidak rela mengulangi detik yang telah merentap maruah bola sepak negara itu yang dikenali sebagai ‘malam mengaibkan di Gijon’.
Insiden yang berlaku dalam Piala Dunia 1982 di Gijon, Sepanyol itu menyaksikan Austria tewas 0-1 kepada Jerman Barat dalam aksi terakhir Kumpulan 2 bagi membolehkan kedua-dua pasukan mara ke pusingan kedua, sekali gus menafikan impian Algeria yang mengejutkan Jerman pada aksi pembukaan dan menunjukkan permainan menghiburkan.
Sebelum perlawanan bermula, Jerman hanya perlu menang 1-0 atau 2-0 untuk mengiringi Austria ke peringkat kalah mati. Selepas Jerman mendapat gol pertama di minit ke-10, kedua-dua pasukan bermain tanpa ‘jiwa’ dalam 80 minit terakhir.
Pemerhati bola sepak percaya, kedua-dua pasukan telah ‘mengatur’ perlawanan, namun badan bola sepak dunia, FIFA gagal membuktikan Jerman mahupun Austria melakukan kesalahan.
Insiden itu juga mendorong FIFA memperkenalkan peraturan semua perlawanan akhir peringkat kumpulan diadakan serentak bagi mengelak pasukan mengatur perlawanan.
Esok, keputusan seri akan mengekalkan Ukraine di tangga kedua Kumpulan C dan Austria kekal di tempat ketiga. Austria layak selaku naib juara di belakang Belanda manakala Ukraine mengesahkan tiket selaku empat pasukan terbaik tangga ketiga.
“Kami tidak pernah terfikir sampai ke tahap itu (berpakat untuk seri). Ia cara paling tidak terhormat kalau kami turun hanya untuk memburu keputusan seri.
“Ia (malam mengaibkan di Gijon) sudah menjadi sejarah. Tak perlu cakap atau ulangi lagi perkara itu,” tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Austria, Leo Windtner.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Belanda yang sudahpun mengesahkan tiket ke pusingan 16 akhir belum memutuskan sama ada mahu menurunkan barisan terkuat bertemu Macedonia Utara.
“Saya ada terfikir untuk meletakkan tiga penyerang ketika menentang Macedonia Utara. Memang kami adalah Belanda (kuat tanpa mengira siapa diturunkan) tapi kami mahu benar-benar memastikan, pasukan ini melangkah ke peringkat kalah mati dengan selesa,” kata jurulatih skuad Oranje, Frank de Boer. – AGENSI