LONDON: Trent Alexander-Arnold terlepas kempen Euro 2020 dan akan meninggalkan kem latihan England hari ini akibat kecederaan paha.
Pemeriksaan yang dilakukan pasukan perubatan mengesahkan, pertahanan Liverpool berusia 22 tahun itu koyak otot paha selepas mengalami kecederaan ketika England menewaskan Austria 1-0 dalam aksi persahabatan semalam.
Pengendali England, Gareth Southgate hanya akan mengumumkan pengganti Alexander-Arnold selepas kembali daripada perlawanan pemanas badan kedua menentang Romania di Stadium Riverside, Ahad ini.
Alexander-Arnold sebelum ini menjadi bualan ramai selepas disenaraikan dalam 26 pemain England ke Euro 2020 biarpun Three Lions sudah memiliki tiga kali pertahanan kanan yang berkaliber iaitu Kieran Trippier, Kyle Walker dan Reece James.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila mengalami kecederaan di penghujung perlawanan menentang Austria.
Alexander-Arnold memerlukan rehat sekurang-kurangnya enam minggu dan tidak akan terlibat dengan Euro 2020, yang mana England akan memulakan kempen menentang Croatia pada 13 Jun ini.