Alasan Hafizh, isteri tak cukup kuat? - Utusan Malaysia

Alasan Hafizh, isteri tak cukup kuat?

HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada alasan kukuh selain perlumbaan tidak tetap menjadi punca isteri kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah iaitu Noor Suzana Abdul Manaf tidak dapat berangkat ke Itali.

Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan memberitahu, mereka menjumpai beberapa kes penyalahgunaan kelulusan permohonan keluar negara melalui MyTravelPass (MTP) oleh warganegara Malaysia melalui semakan yang dijalankan di pintu masuk negara.

Katanya, penggunaan kelulusan itu dengan tujuan selain daripada kategori yang dibenarkan keluar negara adalah dilarang sama sekali.

“Merujuk kepada hantaran tular di media sosial oleh seorang pelumba motosikal berkenaan permohonan isteri beliau untuk keluar negara telah ditolak kerana tujuan melancong serta bercuti tidak dibenarkan dan hanya ahli sukan yang berpangkalan di luar negara dibenarkan membawa pasangan.

“Sebagai contoh pelumba basikal dan pemain golf profesional tetapi bagi mereka yang menyertai kejohanan secara ‘on dan off’, mereka tidak dibenarkan membawa pasangan. Hanya jurulatih dan kru profesional sahaja dibenarkan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu Hafizh meluahkan rasa tidak puas hati apabila hasrat untuk terbangkan isterinya ke Eropah tidak kesampaian selepas gagal mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Imigresen.

Situasi terbabit menyebabkan pelumba terbabit sekali lagi meluahkan kemarahannya di laman Instagram apabila dikatakan isterinya Suzana ‘sangkut’ seterusnya tidak boleh terbang ke Itali.

Kesulitan yang dihadapi Suzana itu kemungkinan disebabkan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kerajaan bermula 1 Jun, sekali gus perjalanan ke luar negara dihadkan bagi membendung penularan Covid-19.

“Sumpah saya tak faham. Tak faham dengan apa (dimahukan) Imigresen dan kerajaan, saya nak terbangkan wife (isteri) ke sini bukan suka-suka encik, apa yang berlaku pada race (perlumbaan) lepas sumpah buka mata sendiri, kena ada salah sorang kena dekat dengan saya.

“Sebab kalau apa-apa berlaku encik senang…kalau Malaysia-Europe (Eropah) dua jam tak apa, ini 16 jam fly (terbang) saja.

“Saya race demi Malaysia dan minat, bukan bercuti…serius macam minta sedekah,” katanya.

Kemalangan yang menyebabkan kematian pelumba muda Moto3 Switzerland, Jason Dupasquier pada Grand Prix Itali minggu lalu mendorong pelumba negara itu mahu membawa isterinya ke Eropah kerana bimbang jika ada perkara buruk berlaku ke atas dirinya sepanjang menyertai perlumbaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN