GLASGOW: Kemampuan menyerap tekanan di awal permainan dan jaringan ‘dari planet luar’ yang disempurnakan Patrik Schick adalah kunci kejayaan Republik Czech menumpaskan Scotland 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D hari ini, kata pengendali Czech, Jaroslav Silhavy.
Biarpun berdepan sorakan gemuruh lebih 12,000 penyokong tuan rumah di Hampden Park, namun Czech berjaya menahan asakan Scotland di awal permainan, malah berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol, Tomas Vaclik.
“Kami sudah menjangkakan mereka akan memberi tekanan sejak awal, namun kami berjaya mengatasinya.
“Kami bertahan dengan baik di depan gawang dan banyak diselamatkan oleh penjaga gol,” kata Silhavy dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Silhavy mangakui, dia masih bimbang sekalipun pasukannya mendahului 1-0 pada minit ke-42 menerusi tandukan Schick.
Bagaimanapun jaringan luar biasa penyerang Bayer Leverkusen itu yang melepaskan rembatan dari tengah padang, menewaskan penjaga gol lawan, David Marshall meyakinkannya untuk mengutip tiga mata.
Lebih menarik, tendangan Schick dinobat sebagai paling jauh dalam Euro 2020 iaitu 45.4 meter memecah rekod pemain Jerman, Torsten Frings yang dibuat ketika menentang Belanda pada Euro 2004.
Kata Silhavy, kombinasi rembatan serta lambungan Schick yang memerangkap Marshall telah beberapa kali dicuba oleh pemain itu sebelum pertandingan, terutama ketika sesi latihan.
“Kami tahu dia genius dan tahu bagaimana hendak menyempurnakan jaringan. Gol kedua datang dari ‘luar planet ini’. Dia suka mencubanya dalam latihan dan pernah mencuba dalam perlawanan kami sebelum ini,” katanya.
Kata Silhavy, kemenangan itu meringankan beban Czech yang akan berdepan Croatia, Sabtu ini sebelum menentang England pada perlawanan terakhir kumpulan pada 23 Jun.
Sementara itu, bagi Scotland, kekalahan ini pasti memberi tekanan hebat menjelang pertemuan dengan musuh berjiran, England di Wembley, Sabtu ini.
Membuat kepulangan semula di pentas kejohanan utama selepas 23 tahun ‘hilang’, penampilan sulung anak-anak buah Steve Clarke tidak berjalan seperti diharapkan.
Ketiadaan bek tengah Arsenal, Kieran Tierney akibat kecederaan amat dirasai, malah Andrew Robertson juga terpaksa membantu serangan pasukan dengan mengatur gerakan dari belakang.
“Kami banyak melakukan persiapan dengan penyertaan Kieren. Hanya dalam tempoh 48 jam dia terpaksa dikeluarkan, ia sangat memberi kesan,” kata Clarke. – AGENSI