BARCELONA: Sergio Aguero menjangkakan Lionel Messi akan kekal bersama Barcelona selepas dia menyertai kelab Catalan itu menerusi perpindahan percuma hari ini.
Aguero, 32, menandatangani perjanjian dua tahun bersama Barcelona selepas kontraknya bersama Manchester City, kelab yang dinaungi sejak sedekad lalu tamat bulan ini.
Kontrak Messi di Barcelona juga akan tamat bulan depan dan sehingga kini masa depannya masih menimbulkan tanda tanya kerana dia pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab, Ogos lalu.
Bagaimanapun kehadiran Aguero, rakan baiknya dalam skuad kebangsaan Argentina diyakini mampu mengekalkan penyerang terbaik dunia itu di Camp Nou musim depan.
“Kami berharap dapat bermain bersama, itu sudah tentu tetapi apa yang berlaku dengan Leo adalah keputusan yang akan diambilnya bersama kelab.
“Sekiranya dia kekal di sini, yang mana percaya itu keputusan yang bakal diambil, kami akan memberi yang terbaik untuk kelab mencapai perkara besar,” kata Aguero kepada wartawan ketika ditanya apakah kedatangannya adalah petunjuk bahawa Messi telah memutuskan untuk kekal kelab itu.
Aguero dan Messi adalah pemain seangkatan di Argentina. Kedua-duanya bergandingan membantu negara itu merangkul Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2005 dan meraih pingat emas Sukan Olimpik 2008. Sejak itu hubungan mereka sangat rapat.
“Saya bercakap dengan (Messi) setiap hari tetapi saya tidak dapat beritahu (butiran percakapan).
“Mesej terakhir adalah dia mengucapkan tahniah kepada saya kerana menandatangani kontrak bersama Barcelona,” katanya. – AGENSI