Agong titah kejayaan Damok bukti negara mampu lahir atlet berkualiti - Utusan Malaysia

Agong titah kejayaan Damok bukti negara mampu lahir atlet berkualiti

Syarifuddin Azman melakar sejarah merangkul kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan pelumba Moto3 Remaja negara, Syarifuddin Azman di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, ia perlu datang sekali dengan semangat perjuangan dan iltizam serta usaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah antarabangsa.

Hal itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Syarifuddin yang terkenal dengan jolokan Damok.

Seri Paduka bertitah, kejayaan pelumba berusia 20 tahun itu adalah penting kerana melakar sejarah dalam sukan pemotoran negara serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka menyifatkan pencapaian Syarifuddin sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga suntikan semangat kepada beliau untuk memburu kejayaan di masa hadapan.

“Ini membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” titahnya.

Semalam, lagu Negaraku berkumandang di Sepanyol apabila Damok merangkul kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia menewaskan tiga pelumba tuan rumah, David Munoz yang menunggang KTM, Jose Antonio Rueda (KTM) dan Daniel Holgado (Gasgas) masing-masing menamatkan saingan di tangga kedua, ketiga serta keempat.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.

Ini kali pertama pelumba Malaysia berjaya menguasai pentas CEV dan Syarifuddin atau lebih dikenali dengan julukan Damok memenanginya pada tahun kedua beraksi dalam kejuaraan tersebut.

Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah lagi, kejayaan Syarifuddin diharapkan menjadi pembakar semangat kepada atlet lain dan seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Syarifuddin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN