PETALING JAYA: Pelumba pecut No. 1 dunia, Azizulhasni Awang mengucapkan ‘selamat datang ke kelab’ buat Fadhil Zonis selepas memenangi pingat emas dalam acara keirin Kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong sebentar tadi.
Jaguh negara itu berkata, Fadhil muncul pelumba ketiga negara yang pernah memenangi pingat di peringkat Piala Dunia atau Piala Negara-Negara selepas dia dan Rizal Tisin.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada pelumba trek wanita negara, Anis Rosidi yang meraih gangsa dalam acara 500m ujian masa hari ini.
“Tahniah buat Fadhil Zonis atas kemenangan emas dalam acara keirin sebentar tadi. Kemenangan ini menjadikan Fadhil pelumba Malaysia ketiga yang pernah memenangi pingat di peringkat Piala Dunia atau Piala Negara-Negara selepas saya dan Rizal Tisin.
“Welcome to the club Fadhil. Tahniah juga buat Anis Rosidi yang memenangi pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa awal siang tadi.
“Kedua-dua pelumba ini memang sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh dan mereka berdua mempunyai disiplin yang tinggi, mendedikasikan diri mereka sepenuhnya kepada karier sukan dan sentiasa terbuka menerima nasihat.
“Di harap Fadhil dan Anis dapat menempa lebih banyak kejayaan di masa hadapan. Syabas!” tulis Azizulhasni dalam media sosial sebentar tadi.