GDANSK, Poland: Villarreal merangkul kejuaraan Liga Europa buat kali pertama selepas menumpaskan Manchester United dalam drama penentuan sepakan penalti, yang turut menyaksikan penjaga gol United, David de Gea gagal menyudahkan sepakan terakhir sebentar tadi.
Perlawanan di Gdansk Arena itu berkesusahan 1-1 selepas tamat 120 minit permainan untuk memaksa kejuaraan ditentukan menerusi penalti.
Gerard Moreno sebelum itu meletakkan Villarreal di depan pada minit ke-29, sebelum Edinson Cavani menyamakan kedudukan di minit ke-55.
Villarreal akhirnya memenangi penentuan sepakan penalti 11-10, sekali gus menyaksikan Ole Gunnar Solskjaer terus kempunan untuk meraih trofi pertamanya sejak bergelar pengurus United, tiga tahun lalu.
Penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli muncul wira selepas meledak sepakan penalti kemenangan tidak lama selepas menyelamatkan tendangan De Gea.
Villarreal berjaya mengekang asakan bertali arus United pada separuh masa kedua untuk menghadiahkan trofi Liga Europa keempat buat Unai Emery dalam kariernya sebagai pengurus. Tiga kejuaraan sebelum ini diraih bersama Sevilla.
Ini kali pertama kejohanan bola sepak Eropah berlangsung di depan penonton dalam tempoh dua tahun sejak dunia diserang pandemik Covid-19. – AGENSI