GDANSK, Poland: Peluang untuk memenangi trofi pertama selaku pengurus Manchester United mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ole Gunnar Solskjaer menjelang final Liga Europa berdepan Villarreal, awal pagi esok.
Kejayaan itu bukan sahaja mampu menaikkan saham Solskjaer di United tetapi turut menghadiahkan gelaran kedua buat skuad Red Devils dalam kejohanan tersebut.
Pengendali dari Norway berusia 48 tahun itu akan selamanya mengingati kemenangan dicipta berdepan Bayern Munich pada final Liga Juara-Juara 1999 dan Solskjaer tidak sabar meletakkan kembali dirinya dalam sejarah kejayaan kelab itu.
Selepas memastikan United berada dalam kedudukan empat teratas buat pertama kali sejak Alex Ferguson bersara dengan gelaran Liga Perdana Inggeris terakhir kelab pada 2013, Solskjaer berharap dapat menamatkan penantian empat tahun bagi merangkul kejuaraan di Gdansk.
“Anda sentiasa berdepan tekanan untuk menang di United. Peningkatan dalam saingan liga menunjukkan tanda positif. Perkara seterusnya ialah menang trofi dan memberikan cabaran dalam Liga Perdana musim depan.
“Memenangi trofi akan memberikan anda rasa percaya tapi ia juga menyebabkan anda lebih laparkan kemenangan.
“Apabila anda menang sesuatu anda hanya akan mahu menang lagi, anda mahu rasakan sensasi merangkul trofi sekali lagi. Saya tahu pemain percaya mereka boleh menang dan selepas itu kami akan mara untuk menang sesuatu lebih baik,” katanya.
Kali pertama United memenangi trofi Liga Europa adalah ketika dibawah kendalian Jose Mourinho pada 2017 dengan menundukkan Ajax 2-0 di Friends Arena, Sweden.
Pengendali paling berjaya di United, Ferguson turut menyertai pasukan sekali gus menambah semangat buat pasukan dari England itu meraih kejayaan. – AFP
AKHIR
VILLARREAL lwn MAN. UNITED
(Siaran langsung di Astro 819, 2.50 pagi)