ROME: Manchester United akhirnya meraih tiket final pertama sejak dibimbing oleh Ole Gunnar Solskjaer biarpun tumpas 2-3 kepada Roma dalam separuh akhir kedua Liga Europa sebentar tadi.
Kemenangan 6-2 dalam perlawanan pertama minggu lalu sudah memadai untuk membawa Red Devils mara secara agregat 8-5.
Dua jaringan Edinson Cavani, selain ketangkasan penjaga gol, David de Gea menyelamatkan tiga percubaan bahaya lawan menjadi kunci kemaraan United.
Solskjaer juga membawa masuk Donny van de Beek dalam kesebelasan utama dan menurunkan lapan pemain yang membantu mereka membenam Roma minggu lalu.
“Jelas sekali kami gagal memberikan aksi terbaik hari ini dan perlu meningkatkan permainan dalam perlawanan akhir nanti.
“Apa pun, melangkah ke final satu pencapaian hebat buat pasukan,” kata kapten United, Harry Maguire.
United kini akan berdepan Villarreal dalam penentuan kejuaraan di Gdansk, Poland pada
26 Mei depan.