KUALA NERUS: Lee Tuck menolak tawaran beberapa pasukan Liga Super dan Liga Perdana untuk kembali menyarung jersi hitam putih Terengganu.
Menurut pemain kelahiran Halifax, England itu, menyertai pasukan lamanya adalah keputusan yang mudah selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan Sri Pahang.
Katanya, rombakan dilakukan skuad Tok Gajah agak mengejutkan namun keputusan itu diterima dengan profesional sambil menetapkan fokus baharu dalam baki saingan musim ini.
“Saya tidak pernah terfikir kembali ke Terengganu kerana hanya memberi fokus dan tumpuan untuk melonjakkan prestasi skuad Tok Gajah dalam saingan liga.
“Misi terkini adalah mahu membantu Terengganu FC merangkul kejuaraan dan tidak sabar untuk turun ke padang bersama pasukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Bakal menyertai Tuck adalah tonggak Al Riffa SC, Habib Haroun, 21, yang kini di peringkat akhir perbincangan sebelum diumumkan sebagai rekrut terbaharu skuad Terengganu FC.
Menurut sumber, pemain muda kelahiran Bahrain itu bakal menyertai Terengganu FC selepas selesai proses dokumentasi dan ujian perubatan yang ditetapkan.
“Jika berjalan lancar, Haroun bakal tiba di ibu negara minggu depan tetapi hanya boleh menyertai sesi latihan setelah menjalani tempoh kuarantin,” katanya.
Kemasukan Tuck dan Haroun akan melengkapkan barisan skuad Sang Penyu yang sudah diperkuatkan kapten, Carli De Murga, Makan Konate dan penyerang, David Da Silva.