LONDON: Trent Alexander-Arnold menerima pujian pengendali England, Gareth Southgate dan kembali dipanggil dalam skuad awal 33 pemain yang bakal beraksi dalam Kejohanan Eropah (Euro) 2020.
Tempat buat bek kanan Liverpool itu bagaimanapun belum menjamin apabila Southgate mengumumkan senarai akhir 26 pemain minggu depan, namun buat masa ini dia berada dalam barisan bayangan Three Lions.
Berusia 22 tahun, Alexander-Arnold dilihat sebagai calon utama untuk mengisi posisi pertahanan kanan England bagi beberapa tahun seterusnya, namun dia digugurkan secara mengejut Mac lalu ketika pasukan mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022.
Prestasi baiknya di bawah bimbingan Jurgen Klopp di Liverpool membolehkan dia dipanggil semula dalam pemilihan pemain ke Euro 2020.
Pada ketika tonggak Atletico Madrid, Kieran Trippier dan Manchester City, Kyle Walker, yang membantu pasukan masing-masing muncul juara liga musim ini hampir pasti disenaraikan, Alexander-Arnold perlu bersaing sengit dengan pemain Chelsea, Reece James untuk slot terakhir.
“Saya mudah terpikat dengan individu yang mungkin berusia 26 tahun, itu membuatkan diri saya sedikit kelam kabut.
“Ramai menganggap saya obses dengan pertahanan kanan. Saya nampak ada empat pemain yang bagus di posisi ini, tapi selain bek kanan, Trippier juga boleh bermain di bek kiri. Trent pula mampu mengisi bek kanan, sayap kanan, malah bahagian tengah,” kata Southgate.
England menjadi pilihan untuk menjuarai Kumpulan D yang turut dibarisi Croatia, Republik Czech dan Scotland. – AGENSI