POH: Kebimbangan penyokong bahawa lebih ramai pemain akan mengikut jejak Shahrul Mohd. Saad dan Guilherme de Paula meninggalkan Perak tidak berlaku.
Desas-desus pemain Bos Gaurus mungkin memulaukan perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang di Ipoh malam ini juga tidak akan berlaku.
‘Ribut dalam cawan’ Perak sebaliknya berakhir dengan perdamaian antara pengurusan pasukan serta pemain selepas perbincangan hati ke hati semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali berkata, tindakan memboikot sesi latihan kelmarin berpunca gara-gara salah faham.
“Semua yang berlaku akibat salah faham.
“Ketika mereka ambil tindakan itu gaji memang belum masuk.
“Pemain sudah meminta maaf dan mereka berjanji tidak akan mengulanginya.
“Alhamdulillah mereka berjanji akan bermain sepenuh hati menentang Pahang esok,” katanya semalam.
Menurut Rizal, Perak akan berusaha menyelesaikan gaji April sebelum Hari Raya Aidilfitri, Khamis depan.
Rizal berkata, kecuali Shahrul dan De Paula, tiada pemain lain akan meninggalkan Perak dalam jendela perpindahan yang bakal ditutup pada hujung bulan ini.