PETALING JAYA: Tiada lagi aksi ninja di atas padang hoki.
Penjaga gol utama skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya akhirnya membuat keputusan paling sukar dalam hidupnya dengan mengumumkan persaraan semalam.
Farah Ayuni, 32, yang sudah 12 tahun bersama Malaysian Tigress dan mengumpul 200 penampilan menegaskan, keputusan yang diambil tepat pada masanya.
“Keputusan yang paling sukar ketika hidup saya hanya tertumpu kepada hoki, bersyukur kepada Allah kerana hoki saya mempunyai segulung ijazah dan pekerjaan yang baik terima kasih segalanya.
“Orang saya muliakan tentunya mak ayah, dan adik-beradik selalu memberikan sokongan yang tidak terhingga jatuh bangun dalam karier.
“Tidak dilupakan teman-teman baik saya selalu ada bersama, terima kasih bekas kawan-kawan seperjuangan Malaysia Tigress setiap penat lelah selama ini akan selalu diingati dalam memori,” tulisnya dalam media sosial.
Farah Ayuni turut mengakui setiap detik beraksi di peringkat antarabangsa pasti dirindui dan pengalaman itu tidak boleh dijual beli.
Tegasnya, dia berharap jasa dan pengorbanan pemain hoki negara akan dihargai sama seperti diterima atlet lain yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya semestinya akan selalu merindukan suasana hoki antarabangsa ia satu perasaan yang tidak boleh dijual beli ketika membawa nama Malaysia.
“Menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku, kebanggaan untuk saya.
“Saya ucapakan salam perpisahan dan akan berundur dalam dunia hoki di peringkat antarabangsa.
“Persaraan saya ini keputusan yang tepat, hargailah pemain-pemain yang lama berbakti dan saya terus berharap hoki wanita akan sentiasa digeruni dan menjadi kuasa besar suatu hari nanti.
“Kepada pemain-pemain muda teruslah bekerja keras cipta nama di peringkat antarabangsa, bukan hanya cipta nama di Malaysia,” ujarnya.
Begitupun dia tetap aktif dalam sukan itu bersama pasukan majikannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain memberi tumpuan kepada kerjaya hakikinya selaku seorang inspektor.
Farah Ayuni adalah penjaga gol wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan apabila dinobat selaku penjaga gol terbaik Asia dua kali dalam Trofi Juara-Juara Asia.
Dia juga mempamer aksi cemerlang ketika bersama kelab East Grinstead dalam Liga Perdana England apabila menjadi pilihan utama dan membantu kelab itu muncul naib juara
liga musim lalu.