LONDON: Kesilapan percaturan Zinedine Zidane nyata memakan diri apabila Real Madrid tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) kepada Chelsea.
Madrid tewas 0-2 dalam pertemuan kedua, semalam selepas Timo Werner dan Mason Mount menjaringkan gol untuk mara ke final dengan agregat 3-1 dalam aksi separuh akhir.
Sekiranya Blues lebih klinikal dalam melakukan penyudah, sudah pasti tuan rumah mampu melakar kemenangan besar di Stamford Bridge.
Real yang memiliki 68 peratus penguasaan permainan, hanya mampu melancarkan tujuh percubaan berbanding Chelsea dengan 15 percubaan namun masing-masing melakukan lima percubaan tepat.
Zidane memilih sistem 3-4-3 yang jarang digunakan kelab gergasi Sepanyol itu dan nyata membuatkan anak-anak buahnya kelihatan tidak begitu selesa untuk beraksi.
“Chelsea benar-benar unggul dalam segala perkara dan lebih banyak menciptakan peluang. Kami menyukai Zidane dan dia telah mencapai banyak kejayaan tetapi kali ini dia kesilapan besar dalam soal percaturan.
“Kekalahan ini mampu memberi kesan buruk kepada Zidane kerana melakukan banyak kesilapan dan ia menjadi punca penyingkiran Madrid.
“Sebaik mereka memulakan permainan, anda boleh nampak mereka tidak dapat mejelmakan rentak sebenar dan dengan Vinicius tidak diletakkan di posisi kegemarannya, Madrid gagal melakukan apa-apa.
“Mereka benar-benar kebingungan tanpa mengetahui apa yang harus dilakukan. Kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam LaLiga kelak. Berdasarkan situasi sekarang saya tidak menjangkakan musim ini akan berakhir baik buat mereka,” kata bekas penyerang Madrid musim 1996–1999, Predrag Mijatovic. – AGENSI