PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui tidak akan berasa kecewa seandainya gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebaliknya akan terus berusaha untuk ke temasya Paris 2024.
Soon Huat memberitahu, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana mereka sudah cuba melakukan yang terbaik termasuk mencari penaja sejurus selepas digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggapai impian itu.
“Kami tidak akan menyesal jika kami tidak dapat ke Tokyo kerana kami tahu kami sudah berikan yang terbaik. Jika gagal, kami akan berusaha untuk ke Paris pada 2024.
“Kami percaya jika dapat mengekalkan momentum dan menerima dana mencukupi, peluang ke Paris lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, Shevon mengakui keadaan semakin suntuk mereka mencari mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo selepas Terbuka Malaysia ditunda dan Terbuka Singapura dibatalkan kerana penularan Covid-19.
Dalam situasi semasa, hanya Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sudah mengesahkan tempat di Sukan Olimpik Tokyo kerana mereka berada di ranking ketujuh dunia.
Soon Huat-Shevon pula berada di kedudukan ke-12 satu anak tangga di belakang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Berdasarkan format pertandingan, setiap negara hanya boleh menghantar dua wakil sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.