LONDON: Ketika Thomas Tuchel menggalas tugas pertamanya sebagai pengurus pasukan senior di Mainz pada 2009, jurulatih kelahiran Jerman itu duduk di dalam bas menonton dokumentari mengenai Pep Guardiola.
Dia kemudian memberhentikan video dan matanya tertumpu kepada corak graf permainan Barcelona yang terpampang di skrin.
Bagi Tuchel, 47, Guardiola adalah pakar strategi, ibarat ‘grandmaster’ dalam sukan catur. Dia membiarkan skrin itu terhenti dan menghabiskan masa dua jam untuk mengkaji graf berkenaan.
Hari ini Tuchel mampu mencatur taktikal bola sepak dengan hebat hingga mendorong Guardiola bertemu Pengarah Teknikal Bayern Munich, Michael Reschke beberapa tahun lalu dan memberitahunya, bahawa jurulatih dari Jerman adalah calon terbaik untuk membimbing gergasi Bavarian tersebut.
Tuchel juga pernah berkunjung ke Camp Nou untuk melihat sendiri Guardiola mencatur permainan pasukannya dan mengkaji bagaimana dia memberikan peranan tepat kepada pemain, terutama Lionel Messi hingga mampu membawa Barcelona merangkul pelbagai kejuaraan.
Kini, selepas bertahun-tahun mengkaji dan membaca taktikal Guardiola, Tuchel berpeluang berdepan ‘idolanya’ apabila membawa Chelsea menentang Manchester City dalam final Liga Juara-Juara esok.
“Dia memikirkan tentang bola sepak 24 jam. Cara dia bekerja tidak sama macam orang lain, dia sangat obses terhadap strategi dan taktikal,” kata Ketua Eksekutif Mainz, Christian Heidel.
Taktikal Tuchel juga menyaksikan Blues menewaskan skuad Citizens dalam dua pertembungan terakhir mereka di peringkat domestik, namun Guardiola menegaskan, keputusan tersebut tidak lagi penting kerana mereka akan bermula dari kosong.
“Ada pelbagai faktor yang mendorong kepada keputusan itu, termasuk jadual padat dan kepenatan. Ya, Chelsea berhak menang ketika itu pertemuan Sabtu ini (esok) buku baharu, sama sekali berbeza.
“Liga Perdana sudah berakhir. Kejuaraan Eropah adalah penutup kepada segala-galanya, jadi kami akan berhabisan, mencatur strategi baharu dan tampil dengan taktikal berbeza,” kata Guardiola , 50, yang menjulang kejuaraan Eropah 2010-2011 dan 2008-2009 bersama Barcelona. – AGENSI